Monday, March 2, 2009

NOTA SEJARAH 2 STPM...

Perang Candu 1839-1842

Pengenalan

Peperangan British-China 1839-1842 juga dikenali sebagai Perang Candu I. Peperangan ini merupakan titik peralihan dalam sejarah moden negeri China kerana selepas peperangan ini, khususnya selepas termeterai Perjanjian Nanking pada 29 Ogos 1842, China terpaksa menamatkan dasar isolasi dan seterusnya mengadakan hubungan dengan kuasa-kuasa barat. Orang Cina menganggap peperangan ini berlaku kerana masalah candu. Orang-orang barat pula menganggap peperangan ini berlaku kerana masalah politik, ekonomi dan sosial yang berkaitan dengan hubungan diplomatic, perdagangan bebas dan sistem keadilan. Masalah candu hanya merupakan faktor sampingan yang mempercepatkan peperangan. Ramai ahli sejarah mendakwa peperangan ini berlaku akibat pertembungan dua kebudayaan.

Sebab-sebab

1. Hubungan Diplomatik

Ahli-ahli sejarah seperti Fairbank, Edgar Holt dan Soothills menganggap keengganan China untuk mewujudkan hubungan diplomatik atas dasar sama taraf dengan kuasa-kuasa barat menjadi sebab utama berlakunya Perang Candu Pertama. Orang-orang Cina menganggap China sebagai “Middle Kingdom” atau “Chung Koa” yang lebih bertamadun. Maharaja China dianggap sebagai anak syurga dan pemerintah universal. Orang-orang asing dianggap sebagai orang gasar atau barbarian atau fan kwae, iaitu hantu-hantu asing yang tidak bertamadun. Kedatangan orang asing dianggap sebagai kehadiran wakil-wakil negara pembayar ufti yang mahu tunduk di bawah kekuasaaan China. Dasar ini tidak dipersetujui oleh orang-orang barat, terutamanya British kerana mereka mengamalkan konsep persamaan taraf, lebih-lebih lagi selepas termeterainya Perjanjian Westphalia 1648 antara negara-negara Eropah yang menegaskan hubungan antara negara mesti dijalankan atas dasar sama taraf, tidak kira negara itu kecil atau besar.

Sebelum Perang Candu, China tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian dengan kuasa-kuasa barat kecuali dua perjanjian mengenai sempadan dengan Rusia, iaitu Perjanjian Nerchinsk 1689 dan Perjanjian Kiachta 1727. Usaha-usaha British untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan China gagal kerana China tidak dapat menerima konsep persamaan taraf yang diamalkan oleh British. Antara utusan British yang dihantar ke negeri China ialah utusan Lord Macartney 1793, utusan Lord Amherst 1816 dan utusan Napier 1834. Faktor utama yang menggagalkan utusan tersebut ialah masalah “kow tow” (adat menyembah raja) yang dikenakan ke atas utusan-utusan tersebut.

Orang-orang barat tidak boleh mengadakan hubungan secara langsung dengan Kerajaan China. Hubungan mesti dijalankan melalui sebuah badan iaitu “cohong” yang ditubuhkan pada 1720. Keengganan China untuk mewujudkan hubungan diplomatik atas dasar sama taraf telah menyebabkan kuasa-kuasa barat terutamanya British terpaksa mengambil tindakan secara kekerasan. Edgar Holt dalam bukunya “The Opium Wars in China” menegaskan “the opium war was fought to end forever China’s assumption of superiority to all other nations”.

Pembubaran monopoli perdagangan China Syarikat Hindia Timur British pada tahun 1833 telah menyebabkan ramai pedagang British datang ke negeri China. Untuk melindungi mereka, seorang penguasa perdagangan atau Taipan telah dilantik di Canton. Penguasa perdagangan yang pertama dilantik pada Mac 1834 ialah Lord Napier. Kegagalan untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan China telah mengecewakan beliau sehingga meninggal dunia di Macau pada Oktober 1834. beliau digantikan oleh L.V. Davies pada tahun 1835. L.V. Davies juga gagal mewujudkan hubungan diplomatic dengan China dan terpaksa bersara pada 1837. Beliau digantikan oleh GeorgeBest Robinson. Robinson juga menerima nasib yang sama sehingga terpaksa bersara pada 1839 dan digantikan oleh Charles Elliot. Semasa Charles Elliotlah berlaku Perang Candu 1839-1842.

2. Perdagangan bebas

Christopher Hibbert dalam bukunya “The Dragon Wakes” dan Kenneth Scott Latourette dalam bukunya “A History of Modern China” menegaskan masalah perdagangan bebas khususnya sekatan China ke atas perdagangan asing merupakan faktor utama berlakunya Perang Candu I 1839-1842. Dewasa itu, British mengamalkan dasar perdagangan bebes yang menganggap mereka berhak berdagang di mana sahaja dan dengan siapa sahaja. Akibat perkembangan Revolusi Perusahaan, British memerlukan negeri China sebagai pasaran kepada barang-barang keluaran industri mereka serta untuk mendapatkan bahan mentah terutamanya teh dan sutera. Bagi British, perdagangan dianggap sebagai hak manakala China menganggapnya sebagai keistimewaan yang diberi dan boleh ditarik balik jika difikirkan perlu.

China bersikap anti perdagangan asing. Mereka menganggap perdagangan asing tidak penting kerana keperluan dalam negeri khususnya makanan mencukupi disebabkan pertanian merupakan punca utama ekonomi China. Dalam susunlapis masyarakat China, peniaga/pedagang merupakan golongan yang terendah dan kegiatan perdagangan atau perniagaan sebagai pekerjaan yang hina. Malah orang-orang Cina yang berdagang dengan orang-orang asing dianggap sebagai pengkhianat. Akibat daripada itu, China telah mengenakan pelbagai sekatan ke atas perdagangan asing. Sekatan-sekatan ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati pedagang-pedagang asing.

Mengikut perintah diraja 1757 yang dikeluarkan oleh Maharaja Chien Lung, pedagang-pedagang asing hanya dibenarkan berdagang di Canton. Pedagang-pedagang asing di Canton telah dikenakan pelbagai sekatan. Mereka hanya dibenarkan berada di Canton dalam musim perdagangan dari bulan Oktober hingga Januari. Di luar musim perdagangan, pedagang-pedagang asing dikehendaki meninggalkan Canton. Untuk menjamin mereka tidak menetap di Canton, pedagang-pedagang asing tidak dibenarkan membawa keluarga mereka. Keluarha mereka mesti ditinggalkan di Macau (wilayah Portugis). Mereka juga tidak boleh bergerak bebas kecuali pada 8, 18 dan 28 hari bulan tiap-tiap bulan dalam musim perdagangan. Selain itu, pedagang-pedagang asing tidak boleh berdagang secara langsung dengan orang Cina. Perdagangan mesti dijalankan melalui cohong yang dianggotai oleh 13 pegawai dan ketuanya bergelar Hoppo. Cohong mempunyai kuasa penuh dalam perdagangan asing seperti memberi kebenaran berdagang, kebenaran menggunakan sungai, menetapkan harga dan cukai, menentukan jenis perdagangan dan sebagainya. Malah hubungan antara orang asing dengan Kerajaan China mesti dijalankan melalui cohong.

Pedagang-pedagang asing mahu berdagang di bahagian-bahagian lain di China selain di Canton. Mereka mahu berdagang secara bebas dan mendapatkan harga yang berpatutan bagi barang-barang China. Tindakan cohong mengenakan cukai dan harga yang tinggi serta tidak tetap menimbulkan perasaan tidak puas hati pedagang-pedagang asing. Sekatan China ke atas pedagang asing telah menyebabkan peperangan tidak dapat dielakkan antara British yang merupakan negara progresif, perindustrian dan kapitalis dengan China yang merupakan negara pertanian, tidak progresif dan bersikap anti perdagangan asing.

3. Sistem keadilan

Dari segi sosial, timbul masalah keadilan kerana konsep keadilan China berbeza dengan konsep keadilan British. Kerajaan China telah mengeluarkan arahan supaya semua orang asing yang berada di China mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan di China. Arahan ini tidak dipersetujui oleh pedagang asing kerana mereka menganggap undang-undang China sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan. Contohnya, pada 1784, seorang anak kapal “Lady Hughes” telah dijatuhkan hukuman dicekik sampai mati kerana kesalahannya membunuh secara tidak sengaja seorang rakyat China semasa upacara kehormatan di Whampoa. Hukuman yang sama juga dikenakan kepada Terranova iaitu anak kapal “Emily” pada 1821. Pada 12 Julai 1839, 3 orang British yang mabuk telah membunuh seorang rakyat China iaitu Lin Wei Hsi. Pesuruhjaya Tinggi China di Canton, Lin Tse Hsu telah mengarahkan penguasa perdagangan British Charles Elliot menyerahkan ketiga-tiga orang British yang terlibat dalam pembunuhan tersebut kepada pihak China untuk diadili. Charles Elliot yang menyedari hukuman yang akan dijatuhkan enggan menyerahkan mereka. Sebaliknya beliau membicarakan mereka dan menjatuhkan hukuman penjara. Tindakan Charles Elliot sudah tentu menjejaskan hubungan antara British dan China

Mengikut undang-undang China, seseorang yang dituduh melakukan kesalahn tetap bersalah sehingga beliau dapat membuktikan dirinya tidak bersalah. Mengikut undang-undang British pula, seseorang yang dituduh melakukan kesalahan tidak bersalah sehingga pihak pendakwa dapat membuktikan beliau bersalah. China mengamalkan undang-undang kumpulan dan tanggungjawab ketua. Mengikut undang-undang kumpulan, jika seseorang melakukan kesalahan, semua anggota dalam kumpulannya bertanggungjawab dan boleh dijatuhkan hukuman. Mengikut undang-undang tanggungjawab ketua, sekiranya anak buah melakukan kesalahan ketuanya juga bertanggungjawab dan juga boleh dijatuhkan hukuman. Undang-undang ini tidak dipersetujui oleh British kerana mereka mengamalkan undang-undang tanggungjawab individu. Hanya mereka yang melakukan kesalahan bertanggungwab di atas kesalahannya dan boleh dijatuhkan hukuman. Di negeri China, tidak ada perbezaan antara undang-undang dan perintah. Perintah pegawai lebih-lebih lagi perintah maharaja sudah dianggap sebagai undang-undang yang mesti dilaksanakan.

4. Masalah candu

Perdagangan antara British dan China tidak seimbang. British memerlukan barang-barang China terutamanya teh dan sutera tetapi China tidak memerlukan barang-barang British. Akibatnya banyak wang British mengalir ke negeri China.

1780-1790 14 juta taels

1790-1800 26 juta taels

Keadaan ini sudah tentu memberi bebanan ekonomi kepada British. Untuk mengimbangi perdagangan, British membawa masuk candu dari India dan Turki sejak 1773.

Sebelum 1720 200 peti candu setahun

Sebelum 1750 400 peti candu setahun

Sejak 1773 1000 peti candu setahun

1800 4500 peti candu setahun

1810 10000 peti candu setahun

1820 20000 peti candu setahun

1830 30000 peti candu setahun

1837-1840 40000-60000 peti candu setahun

Kemasukan candu telah menjejaskan negeri China dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dari segi politik berlaku ketidakcekapan dalam pentadbiran, rasuah serta penyelewengan kerana ramai pegawai kerajaan telah menjadi penagih candu. Dari segi ekonomi banyak wang China mengalir keluar kerana mengimport candu. Nilai import candu telah melebihi nilai eksport barang-barang lain. Keadaan ini sudah tentu memberi bebanan ekonomi kepada Kerajaan China. Dari segi sosial, timbul masalah kesihatan dan keruntuhan akhlak kerana ramai rakyat China menjadi penagih candu. Untuk mengatasi masalah ini, beberapa arahan telah dikeluarkan oleh Maharaja Chien Lung (1736-1796), Maharaja Chia Ching (1796-1820) dan Maharaja Tao Kuang (1820-1850) mendesak pedagang-pedagang asing menghentikan perdagangan serta penyeludupan candu. Arahan ini tidak mendapat layanan pedagang-pedagang asing dan mereka enggan menghentikan perdagangan candu yang amat menguntungkan mereka.

Pada 1 Mac 1839 Maharaja Tao Kuang telah melantik Lin Tse Hsu sebagai Pesuruhjaya Tinggi China di Canton dengan tugas khas untuk menghapuskan perdagangan, penyeludupan dan penggunaan candu. Beliau tiba di Canton pada 10 Mac 1839. Pada 18 Mac 1839, beliau mengeluarkan arahan mendesak pedagang-pedagang asing menghentikan perdagangan serta penyeludupan candu, menyerahkan candu kepada pihak China untuk dimusnahkan dan menandatangani surat sumpah tidak akan menjalankan perdagangan dan penyeludupan candu. Bila arahannya tidak mendapat layanan, Lin Tse Hsu telah mengepung 350 orang pedagang asing yang kebanyakannya terdiri daripada pedagang British termasuk penguasa perdagangan Charles Elliot di Canton. Apabila terdesak, Charles Elliot telah mengarahkan pedagang-pedagang asing menyerahkan candu kepada pihak China. Sebanyak 20283 peti candu diserahkan dan dimusnahkan oleh pihak China. Peristiwa inilah yang memulakan peperangan antara British dengan China. Setiausaha Luar British, Lord Palmestone telah menjadikan peristiwa candu sebagai alasan menyerang China. Ahli-ahli sejarah menganggap masalah candu hanya merupakan faktor segera yang mempercepatkan Perang Candu I. W.E. Soothills dalam bukunya “China and the west” menegaskan “opium was the accidental cause”.

Peristiwa peperangan

British mengisytiharkan perang ke atas China pada 31 Januari 1840. Angkatan British diketuai oleh Charles Elliot dan Laksamana George Elliot. Mereka telah menyerang Canton, Amoy, Foochow dan Pulau Chu Shan. Kemaraan tentera British membimbangkan China menyebabkan mereka bersetuju mengadakan rundingan. China diwakili oleh Chi Shan dan British diwakili oleh Charles Elliot. Hasil daripada rundingan tersebut, Konvensi Chuenpi ditandatangani pada 20 Januari 1841. Syarat-syaratnya :

1. Hong Kong Diserahkan kepada British.

2. China dikehendaki membayar ganti rugi sebanyak 6 juta taels ke atas candu yang dimusnahkan oleh pihak China.

3. Hubungan antara British dengan China mesti dijalankan atas dasar sama taraf.

4. Canton dibuka semula kepada pedagang asing.

Konvensi Chuenpi tidak diterima oleh Setiausaha Luar iaitu Lord Palmestone dan Maharaja Tao Kuang. Akibatnya peperangan antara British dan China berterusan. Pada Ogos 1841, Henry Pottingger menggantikan Charles Elliot. Di bawah Henry Pottingger angkatan British menyerang Canton, Amoy, Foochow, Ningpo, Shanghai dan Chinkiang. Pada 9 Ogos 1842 mereka menyerang Nanking dan berjaya memusnahkannya pada 14 Ogos 1842. Kejatuhan Nanking membimbangkan China menyebabkan mereka bersetuju mengadakan rundingan. Rundingan diadakan di atas kapal perang British Cornwallis sejak 20 Ogos 1842. China diwakili oleh Ki Ying, Nieu Chien dan Illippi. British diwakili oleh Henry Pottingger. Hasil daripada rundingan tersebut, Perjanjian Nanking telah ditandatangani pada 29 Pgos 1842. Syarat-syarat perjanjian ialah :

1. Hong Kong diserahkan kepada British.

2. China bersetuju membayar ganti rugi sebanyak 21 juta taels, iaitu 12 juta taels ganti rugi peperangan, 6 juta taels ganti rugi ke atas candu yang dimusnahkan oleh China dan 3 juta taels hutang cohong kepada pedagang-pedagang British.

3. Sistem monopoli cohong dalam perdagangan asing dihapuskan.

4. China membuka 5 pelabuhannya kepada pedagang asing iaitu Canton, Amoy, Foochow, Ningpo dan Shanghai.

5. Konsul British akan ditempatkan di setiap pelabuhan perjanjian.

6. Pedagang-pedagang asing bebas berdagang sepanjang tahun di pelabuhan-pelabuhan perjanjian.

7. Hubungan antara British dengan China akan dijalankan atas dasar sama taraf.

8. Sistem cukai yang tetap dan adil akan dilaksanakan.

9. Sebarang pindaan ke atas syarat perjanjian perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

10. Selepas perjanjian ini, sekiranya China memberi sebarang keistimewaan kepada kuasa-kuasa lain, maka British berhak menikmatinya.

Kesan-kesan

1. Merugikan China

Perjanjian Nanking yang ditandatangani pada 29 Ogos 1842 amat merugikan pihak China. China bukan sahaja terpaksa menyerahkan Hong Kong kepada British, malah dikehendaki membayar ganti rugi sebanyak 21 juta taels kepada British, iaitu 12 juta taels untuk ganti rugi peperangan, 6 juta taels untuk ganti rugi ke atas candu yang dimusnahkan oleh pihak China dan 3 juta taels hutang cohong kepada pedagang-pedagang British. Selain itu, China juga terpaksa membuka 5 pelabuhannya kepada pedagang asing, iaitu Canton, Amoy, Foochow, Ningpo dan Shanghai.

2. Menguntungkan British

Di pihak lain, Perjanjian Nanking amat menguntungkan British. Pihak British bukan sahaja mandapat Hong Kong, malah dibayar ganti rugi sebanyak 21 juta taels yang terdiri daripada 12 juta taels untuk ganti rugi peperangan, 6 juta taels untuk ganti rugi ke atas candu yang dimusnahkan oleh pihak China dan 3 juta taels hutang cohong kepada pedagang-pedagang British. Pada masa yang sama, pedagang-pedagang British juga dibenarkan berdagang sepanjang tahun di pelabuhan-pelabuhan yang dibuka untuk pedagang asing iaitu Amoy, Foochow, Canton, Ningpo dan Shanghai. Di samping itu, China juga menjadi pasaran kepada barangan keluaran industri barat serta tempat untuk mendapatkan bahan mentah terutamanya the dan sutera.

3. Perjanjian

Perjanjian Nanking menandakan permulaan kepada termeterainya perjanjian-perjanjian lain antara China dengan kuasa-kuasa barat. Perjanjian Bogus ditandatangani pada 8 Oktober 1843 dengan British yang diwakili oleh Henry Pottingger. Perjanjian Bogus menetapkan cukai import dan eksport sebanyak 5%. Perjanian tersebut juga memberi keistimewaan-keistimewaan tambahan kepada British seperti “Hak Wilayah Asingan” dan “layanan negara yang diutamakan”. Perjanjian Wanghsia ditandatangani pada 3 Julai 1844 dengan Amerika yang diwakili oleh Caleb Kushing. Perjanjian Wanghsia memberi keistimewaan kepada Amerika seperti yang dinikmati oleh British. Perjanjian Whampoa ditandatangani pada 24 Oktober 1844 dengan Perancis yang diwakili oleh Theodore da Lagrini. Perjanjian tersebut memberi keistimewaan kepada Perancis seperti yang dinikmati oleh British dan Amerika. Selain itu, Perancis juga dibenarkan menyebarkan agama Kristian serta mendirikan gereja di pelabuhan-pelabuhan perjanjian. Pada 20 Mac 1847, China menandatangani perjanjian dengan Norway dan Sweden.

4. Cohong

Perjanjian Nanking telah menamatkan sistem monopoli cohong dalam perdagangan asing. Pedagang-pedagang asing bebas menjalankan perdagangan secara langsung dengan pihak China. Sebelum Perang Candu, pedagang-pedagang asing terpaksa berdagang melalui cohong yang mempunyai kuasa penuh dalam perdagangan asing seperti memberi kebenaran berdagang, menetapkan cukai dan sebagainya.

5. Persamaan taraf

Buat pertama kalinya China terpaksa menerima konsep persamaan taraf dalam hubungannya dengan kuasa-kuasa barat. Sebelum Perang Candu, orang-orang Cina menganggap negeri China sebagai “Middle Kingdom” atau “Chung Koa” yang lebih bertamadun. Orang-orang asing merupakan Barbarian yang tidak bertamadun.

6. Tidak menyelesaikan masalah

Perjanjian Nanking hanya menamatkan peperangan antara British dengan China tetapi tidak menyelesaikan masalan dalam hubungan antara mereka. Hubungan natara mereka tetap runcing sehingga mengakibatkan perang yang kedua pada 1856-1860 yang dikenali sebagai Perang Candu Kedua atau Perang Arrow.

7. Candu

Orang-orang Cina mendakwa perjanjian tersebut berlaku kerana masalah candu. Walau bagaimanapun dalam Perjanjian Nanking, tidak terdapat syarat yang berkaitan dengan perdagangan Candu. Candu terus dibawa masuk dengan kadar yang lebih banyak.

1843 – 33000 peti

1848 – 46000 peti

1850 – 52929 peti

Kemasukan candu menjejaskan China dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dari segi politik, berlaku ketidakcekapan dalam pentadbiran, rasuah serta penyelewengan kerana ramai pegawai kerajaan telah menjadi penagih candu. Dari segi ekonomi, banyak wang China mengalir keluar kerana mengimport candu. Nilai import candu telah melebihi nilai eksport barang-barang lain. Keadaan ini sudah tentu memberi bebanan ekonomi kepada Kerajaan China. Dari segi sosial, timbul masalah kesihatan dan keruntuhan akhlak kerana rakyat China telah menjadi penagih candu. Desakan China supaya British menghentikan perdagangan candu dan keengganan British untuk mematuhi arahan China telah meruncingkan hubungan antara mereka.

8. Perkembangan perdagangan

Pembukaan 5 pelabuhan China kepada pedagang asing serta keistimewaan-keistimewaan yang diberi telah mengakibatkan perkembangan perdagangan asing di China. Negeri China telah menjadi pasaran barang-barang keluaran industri barat serta tempat untuk mendapatkan bahan mentah terutamanya teh dan sutera. Perkembangan perdagangan terbukti daripada pertambahan nilai eksport. Contohnya, eksport teh pada 1850 telah meningkat ₤100 juta.

9. Krisis ekonomi

Perang Candu telah menyebabkan negeri China mengalami krisis ekonomi. China terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk menghadapi peperangan serta bayaran ganti rugi. Kemasukan barang-barang barat telah menjejaskan pasaran barang-barang tempatan. Akibatnya, banyak industri tempatan terpaksa ditutup. Kemasukan candu meruncingkan lagi masalah ekonomi negeri China. Bagi mengatasi masalah ekonomi, China telah marayu supaya British mengurangkan bayaran ganti rugi. Keengganan British untuk berbuat demikian telah menjejaskan hubungan antara mereka.

10. Pengaruh barat

Pembukaan pelabuhan China kepada orang asing telah mengakibatkan kemasukan pengaruh barat. Ramai rakyat China terutamanya golongan muda di pelabuhan-pelabuhan perjanjian telah terpengaruh dengan budaya barat. Selain itu, berlaku perkembangan agama Kristian di pelabuhan-pelabuhan perjanjian.

11. Menjatuhkan maruah Manchu

Buat pertama kalinya China telah dikalahkan oleh kuasa-kuasa barat. Kekalahan ini telah menjatuhkan maruah negeri China serta menghilangkan keyakinan orang ramai terhadap pemerintahan Dinasti Manchu. Kekalahan ini mendedahkan kelemahan Manchu sehingga mengakibatkan bertambahnya gerakan anti-Manchu, terutamanya di wilayah selatan. Antara gerakan anti-Manchu ialah Pemberontakan Taiping, Pemberontakan Nien dan Pemberontakan Muslim.

12. Permulaan kepada bertapaknya kuasa asing

Perjanjian Nanking menandakan permulaan kepada bertapaknya kuasa asing di China. Mengikut perjanjian ini, 5 pelabuhan China dibuka kepada pedagang asing, iaitu Amoy, Ningpo, Shanghai, Foochow dan Canton. Seterusnya dalam perjanjian Tientshin pada 26 Jun 1858, 11 lagi pelabuhan China dibuka kepada perdagangan asing iaitu Newchwang, Tungchow, Chefoo, Chinkiang, Hankow, Kiukiang, Swatow, Tainan, Tanshui, Kiungchow dan Nanking.

13. Dasar isolasi

Selepas Perjanjian Nanking ditandatangani, China terpaksa menamatkan dasar isolasinya yang diamalkan selama ini. Sejak itu, China mula melaksanakan dasar buka pintu kepada orang-orang asing yang kebanyakannya terdiri daripada pedagang.

14. Penghijrahan

Selepas Perang Candu, ramai rakyat China mula berhijrah ke seberang laut, terutamanya ke Asia Tenggara. Penghijrahan rakyat China semakin hebat bila British menjalankan perdagangan kuli bagi memenuhi keperluan tenaga buruh di Asia Tenggara. Orang-orang sanggup berhijrah kerana mereka telah hilang keyakinan terhadap Kerajaan Manchu serta untuk melarikan diri daripada penderitaan di negeri China.

15. Pengajaran

Buat pertama kalinya China terpaksa menerima hakikat bahawa kuasa-kuasa barat lebih superio daripada China. Sarjana-sarjana China telah mencadangkan supaya China meniru teknik-teknik barat dalam usaha untuk menguatkan negeri China. Contohnya Wei Yuan dalam bukunya “Hai Koa Tu Chih” mencadangkan supaya China meniru teknik-teknik barbarian dalam usaha untuk mengalahkan barbarian. Pendapat ini disokong oleh sarjana-sarjana lain seperti Liang Ting Nan dalam bukunya “Ro Chung Kao Shuo” dan “I Fen Chi Wan” dan Hsu Chi Yu dalam bukunya “Ying Huan Chih Luah”

NOTA SEJARAH 2 STPM...

Perang Inggeris-Myanmar Pertama, 1824-1826

Pengenalan

Perang Inggeris-Myanmar pada tahun 1824 merupakan peristiwa penting dalam sejarah moden Myanmar. Ia tidak sahaja merupakan peperangan yang pertama dengan kuasa asing (Barat) tetapi ia juga disifatkan sebagai titik peralihan bagi negeri Myanmar. Kekalahan Myanmar dalam peperangan itu memberi satu pengajaran bahawa negeri itu tidak boleh merasa bongkak dan mereka merasa dirinya lebih kuat dari negeri lain. Negeri Myanmar juga harus sedar bahawa negara-negara Barat mempunyai kelebihan dalam peperangan moden. Selain itu, negeri Myanmar terpaksa menamatkan dasar “tutup pintu” (isolasi) yang telah dijalankan begitu lama. Dengan menandatangani Perjanjian Yandabo, pada tahun 1826, negeri Myanmar telah mengadakan hubungan dengan British.

Sebab-sebab berlakunya peperangan

1. Dasar meluaskan wilayah

Pada pertengahan kurun ke-18, Alaungpaya telah menakluki Pegu, lalu mendirikan dinasti baru diberi nama Konbaung pada tahun 1752. Dengan pembentukan dinasti baru ini bermakna Alaungpaya telah berjaya menyatukan semula Myanmar. Pengganti-pengganti Alaungpaya kemudiannya telah meluaskan lagi wilayah mereka hingga membawa kepada sempadan Timur India. Pada tahun 1784, Raja Bodawpaya (1782-1819) iaitu anak Alaungpaya yang terakhir memerintah, berjaya menakluki Arakan sebuah kerajaan yang bebas. Raja Arakan bernama Thamada terpaksa melarikan diri tetapi telah ditangkap pada Februari 1785 lalu dibawa ke Myanmar. Selepas menakluki Arakan, tentera Myanmar melancarkan serangan ke atas Siam tetapi gagal. Tentera Myanmar hanya berjaya menawan Chiengmai dan itu pun dapat diusir oleh Siam. Dengan penaklukan Arakan telah membimbangkan Inggeris kerana sempadan Myanmar telah mara ke Benggala. Selain itu, Raja Bodawpaya juga bercita-cita hendak menakluki China dan India terutama di kawasan Manipur dan Assam.

2. Masalah orang pelarian Arakan

Apabila Arakan terletak di bawah kekuasaan Myanmar maka tindasan-tindasan terhadap orang Arakan telah dilakukan. Orang-orang Arakan telah dikerah secara paksa untuk bekerja sebagai buruh dan bertugas dalam perkhidmatan kerajaan. Dengan adanya tindasan dari pemerintah Myanmar, pada tahun 1794 telah terjadi stu pemberontakan dengan dibantu oleh orang-orang Arakan yang telah melarikan diri dan menetap di Chittagong. Pemberontakan itu dapat dikalahkan menyebabkan ramai orang-orang Arakan melarikan diri ke tanah jajahan Inggeris. Peristiwa itu dipandang berat oleh British dan masuk menghalang kemaraan tentera Myanmar maka British menghantar tenteranya ke sempadan di bawah Kolonel Erskine. Dengan ini, pelarian orang-orang wilayah Arakan ke wilayah British telah menimbulkan persengketaan antara British dan Myanmar.

Untuk menyelesaikan masalah sempadan, maka pada tahun 1795, British telah menghantar Kapten Michael Seymes ke Myanmar. Kapten Seymes juga telah mengesyorkan supaya satu perjanjian perdagangan antara Myanmar dengan Inggeris diadakan. Hasil dari perundingan itu, pemerintah Myanmar bersetuju menerima seorang wakil British bertempat di Rangoon untuk menjaga hal-ehwal perniagaan British di Myanmar.

Sungguhpun British dibenarkan melantik residennya di Rangoon keamanan hubungan antara British dan Myanmar sentiasa diancam oleh orang pelarian Arakan. Pada tahun 1798, timbul sekali lagi pemberontakan di Arakan tetapi gagal menyebabkan mencurah-curah orang pelarian Arakan memasuki Chittagong. Disebabkan ramai orang Arakan memasuki Chittagong dan mengancam pemerintah Myanmar di Arakan maka pada Januari 1802, pemerintah Arakan atas nama Kerajaan Myanmar mendesak British menyerahkan orang-orang pelarian Arakan kepada Kerajaan Myanmar. Myanmar juga menggugut akan menyerang India sekiranya tuntutan itu tidak ditunaikan. Dengan adanya ancaman tersebut, maka British mengarahkan pasukan tenteranya untuk mengawal sempadan antara India dan Myanmar. Untuk menyelesaikan masalah pertikaian mereka maka British menghantar Kapten Syemes ke Myanmar pada Mei 1802 bagi mengadakan perdamaian.

Masalah orang-orang Arakan menjadi kemuncak apabila pada tahun 1811, satu pemberontakan di bawah pimpinan Chin Byan telah meletus. Chin Byan secara diam-diam telah mengumpulkan kekuatannya di wilayah British lalu menyerang Myanmar dengan menawan Miohaung. Chin Byan telah meminta bantuan British dengan membuat satu perjanjian untuk meletakkan wilayah di bawah tadbirnya di bawah kedaulatan British. Hal ini telah meruncingkan hubungan antara British dengan Myanmar. Untuk menyakinkan Kerajaan Myanmar bahawa British tidak terlibat dalam tindakan Chin Byan itu maka dalam September 1811, Kapten Canning diutus ke negeri Myanmar. Pemerintah Arakan telah mengancam untuk menyerang Chittagong jika orang-orang pelarian tidak diserahkan. Peperangan dapat dielakkan apabila tentera Myanmar yang berada di sempadan terpaksa ditarik balik pada musim tengkujuh. Untuk mendapatkan kepercayaan Myanmar maka pada akhir tahun 1812, Inggeris berjaya melumpuhkan sebahagian besar pasukan Chin Byan. Pergerakan Chin Byan lumpuh sama sekali apabila Chin Byan meninggal dunia pada tahun 1815. Sungguhpun pergerakan Chin Byan dapat diatasi oleh British, tetapi hubungan baik di antara British dengan Myanmar masih tidak terjamin.

3. Keengganan Myanmar mengadakan hubungan diplomatik

Orang-orang Inggeris ingin mengadakan hubungan yang baik dengan Myanmar. Keinginan British mengadakan hubungan selain disebabkan faktor politik iaitu cuba bersaing dengan pengaruh Perancis, ada juga faktor-faktor ekonomi. Pihak kompeni ingin:

a. Mendapatkan kayu balak dari Myanmar untuk membuat kapal.

b. Menjadi Myanmar sebagai pasaran bagi barang British.

c. Menggunakan Myanmar sebagai jalan darat ke negeri China dengan melalui Sungai Irrawaddy.

Malangnya, orang Myanmar mempunyai pandangan hidup yang berlainan. Seperti orang China, orang Myanmar mempunyai sikap bongkak dengan anggapan bahawa mereka mempunyai darjat tinggi. Oleh itu, mereka merasa bahawa taraf mereka akan jatuh jika mereka mengadakan hubungan yang sama taraf dengan British, lebih-lebih lagi pihak kompeni bukan mewakili Kerajaan British. Oleh sebab sikap pemerintah dan pegawia Myanmar sedemikian rupa, wakil-wakil British gagal untuk mengadakan perhubungan sama taraf dengan Myanmar. Kebanyakan dari mereka terpaksa meninggalkan Myanmar kerana merasakan kecewa atas tindakan pemerintah Myanmar. Misalnya seperti yang terjadi pada Residen Hiram Cox yang dilantik pada tahun 1796 terpaksa meninggalkan Myanmar pada April 1798. Dengan pemergian Cox maka Myanmar tidak membenarkan perlantikan residen di negeri itu. Setelah mengadakan perundingan dengan Kapten Seymes, Raja Bodawpaya memperkenankan perlantikan residen di negeri itu. Dalam bulan Mei 1803, Lieutenant John Canning telah dilantik sebagai residen tetapi beliau terpaksa pulang ke India dalam November 1803. Peristiwa ini mengecewakan British untuk melantik residennya di Myanmar.

4. Campur tangan Myanmar di Assam

Seperti yang diterangkan bahawa Raja Bodawpaya mempunyai cita-cita untuk menakluki India terutamanya wilayah di Timur Laut seperti Manipur dan Assam dan seterusnya Benggala. Untuk mencapai maksudnya maka Bagydaw telah melantik Bandula menjadi gabenor pertama bagi Assam dan Arakan. Rancangan untuk meletakkan Assam di bawah kekuasaan Myanmar terbuka apabila berlaku huru-hara di kawasan itu. Pada akhir kurun ke-18, pengaruh Kerajaan Ahom merosot. Raja Ahom yang bernama Gaurinath Singh merupakan raja yang lemah. Orang-orang Moamarias yang selama ini ditindas oleh mereka telah memberontak. Untuk menghadapi pemberontakan ini, baginda meminta bantuan British tetapi memandang sepi.

Keadaan huru-hara timbul kembali apabila berlaku pertentangan di antara Bar Phukan dengan Burha Gohain. Bar Phukan telah berangkat ke Calcutta untuk mendapatkan pertolongan British tetapi gagal. Dengan itu, Bar Phukan pun berpaling pula kepada Raja Bodawpaya. Menggunakan peluang ini, pada Mac 1817, tentera Myanmar mara ke Jorhat dan melantik seorang raja boneka tetapi sebaik sahaja tentera Myanmar pulang, raja boneka itu digulingkan. Tentera Myanmar kembali ke Assam pada tahun 1819 lalu melantik Chandrakanta Singh menjadi Raja Assam. Nasib yang sama diterima olehnya sebaik-baik sahaja tentera Myanmar kembali ke Myanmar. Oleh sebab dipengaruhi oleh perasaan takut, Chandrakanta Singh melarikan diri ke India. Keadaan yang tidak aman di Assam menyebabkan Bagydaw (cucu Bodawpaya) yang menjadi raja pada tahun 1819 melantik Bandula menjadi Gabenor Assam selepas menaklukinya.

Selepas menakluki Assam, Myanmar meneruskan perluasan wilayahnya ke Manipur. Raja Myanmar telah menggunakan peristiwa kegagalan Raja Manipur menghadiri pertabalan Bagydaw menjadi raja sebagai alasan untuk menguasai kawasan itu. Oleh sebab ketakutan, maka raja dan pengikutnya melarikan diri ke Cacar. Raja Cacar yang negerinya dirempuh oleh orang-orang pelarian Manipur dan takutkan ancaman Myanmar telah melarikan diri ke India. Dengan kemaraan tentera Myanmar yang begitu jauh lebih ramai telah membimbangkan British. British sedar jika kemaraan Myanmar tidak dihalang bermakna wilayah Benggala yang terletak di bawah kekuasaan British akan terancam. Oleh itu, British terpaksa mengambil satu tindakan yang tegas dengan mengisytiharkan wilayah Cacar dan wilayah kecil lainnya seperti Jaintia terletak di bawah pengaruh British.

Ketegangan menjalar pula ke sempadan Arakan apabila Jeneral Bandulu mengalihkan pandangannya ke wilayah itu. Jeneral Bandula sememangnya ingin menguasai wilayah Benggala. Tentera Myanmar telah memasuki kawasan Ramu lalu menangkap pemburu gajah dari pihak kompeni. Peristiwa itu menyebabkan British menguatkan pertahanannya di Tek Naaf dan di Pulau Shahpuri yang terletak di muara sungai berhampiran dengan Chittagong. Tentera Myanmar telah menawan pulau tersebut dalam bulan September 1823 tetapi dapat kembali kemudiannnya oleh British. Selepas peristiwa itu, Jeneral Bandula telah menyiapkan angkatan secara besar-besaran untuk menyerang Chittagong. Menggunakan peristiwa itu pada 5 Mac 1824, Gabenor Jeneral Lord Amherst mengisytiharkan perang ke atas Myanmar.

Peristiwa dan kesan peperangan

Setelah peperangan diisytiharkan maka tenterra British telah dihantar ke wilayah yang disempadankan dengan Myanmar. Tentera British telah ditempatkan di Manipur dan Assam serta penumpuan yang besar di Arakan. Dari Arakan, tentera British akan menyerang Tennaserim. Jeneral Bandula menunjukkan kebolehannya dengan mengalahkan tentera British dan Tek Naaf dan ini menyebabkan Calcutta terancam. Tetapi malangnya ketika Bandula mendapat kejayaan di Tek Naaf, tentera British di bawah Sir Archibald Campbell yang berpusat di Pulau Andaman telah berjaya menawan Rangoon dalam bulan Mei 1824 tanpa perlawanan. Kejatuhan Bandar Rangoon menyebabkan Bandula terpaksa bergerak menuju ke Selatan. Tentera British tidak dapat bergerak mudik mengikut Sungai Irrawaddy kerana berlakunya hujan monsun yang lebat. Tentera kekurangan bantuan dan makanan. Untuk menggunakan jalan darat agar sukar kerana penuh dengan hutan belantara. Kelewatan tentera British bergerak telah memberi peluang kepada Bandula menguatkan pasukan tenteranya. Pada 1 Disember 1824, Bandula melakukan serangan tetapi gagal.

Sementara itu, di medan pertempuran di pantar Barat, tentera British telah menawan pelabuhan penting di Tennasserim dan pada Januari 1825 mereka menawan Mrohaung. Kejayaan ini membolehkan British menguasai Arakan.

Kekuatan tentera Myanmar telah tergugat pada 1 April 1825 apabila Jeneral Bandula mati semasa mempertahankan bandar Danubyu. Kematiannya membolehkan British menduduki Prome. Tentera Myanmar melancarkan serangan ke atas tentera British di Prome tetapi gagal. Setelah berjaya mengalahkan tentera Myanmar di Prome, tentera British diarahkan bergerak menuju ke Ava. Tetapi sebelum tentera British tiba di Yandobo, pemerintah Myanmar telah bersetuju untuk berdamai dan dengan ini pada 24 Februari 1826, Perjanjian Yandabi ditandatangani di antara British dan Myanmar. Syarat-syarat Perjanjian Yandabo ialah:

a. Myanmar menyerahkan Assam, Arakan dan Tennasserim kepada British.

b. Myanmar tidak akan campur tangan di Cacar, Manipur dan Jaintia yang menjadi wilayah perlindungan British.

c. Myanmar bersetuju menerima wakil British yang bertempat di Rangoon dan juga lain-lain kawasan di Myanmar.

d. Myanmar bersetuju mambayar ganti rugi sebanyak 10 juta rupee (kira-kira $5 juta) kepada Inggeris.

e. Myanmar bersetuju mengadakan hubungan diplomatik dengan British dengan menghantar seorang dutanya ke Calcutta.

f. Myanmar bersetuju hendak berundingkan berkenaan dengan perjanjian perdagangan dengan British pada masa akan datang.

Perjanjian Yandabo telah dapat menghentikan peperangan antara kedua-duanya namun pada hakikatnya ia tidak dapat menyelesaikan sikap permusuhan Myanmar kepada British. Bagi orang-orang Myanmar, kekalahan mereka dalam pertempuran bukanlah disebabkan mereka pengecut tetapi disebabkan lain-lain perkara. Anggapan ini menunjukkan dengan jelas bahawa orang-orang Myanmar masih mempunyai keyakinan mereka akan dapat mengalahkan British. Orang yang benar-benar merasa kurang puas hati ialah Raja Bagydaw dan ia menggunakan Perjanjian Yandabo untuk mempersiapkan diri. Dengan sikap permusuhan yang masih ada di diri orang Myanmar menyebabkan Perjanjian Yandabo tidak dijalankan dengans sempurna. Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati kepada British. Unsur-unsur ini telah mencetuskan peperangan yang kedua yang dikenali sebagai Perang Inggeris-Myanmar Kedua pada tahun 1852.

oleh SP Star

Wednesday, February 25, 2009

Followers

History Comunity..........